TAWAKKAL
Tawakkal dari segi bahasa artinya `` menyerah ``. Menurut arti ayat-ayat Al-Quran dan contoh-contoh dari Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam ialah : `` mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (Sunnah Allah) serta mengharapkan pertolongan Allah Subhanahu Wata`ala.
Seorang yang sedang sakit menghendaki kesembuhan, ia akan :
· berusaha pergi ke doktor untok meminta nasihat,
· mengambil ubat sebagaimana nasehat doktor,
· tawakkal – menyerahkan segala usahanya kepada Allah Subhanahu Wata`ala,
· mengharapkan pertolongan Allah dengan tenang,
· redha - menunggu pertolongan Allah Subhanahu Wata`ala dengan rela dan senang menerima apa saja yang akan terjadi.
Seorang yang mahu kaya,ia berusaha untok menghasilkan kekayaan itu, menurut tatacara yang biasa (Sunnah Allah), yang halal, dengan mengharapkan pertolongan Allah.
Orang yang menginginkan sesuatu, akan tetapi tidak mau berusaha atau ia berusaha tetapi dengan cara yang salah. Seorang yang sakit mahu sembuh, lalu dia pergi ke dukun-dukun; mau kaya tetapi ia pergi memuja-muja kuburan-kuburan. Semua usaha ini tidak mengikut Sunnah Allah dan ini bukan tawakkal. Syarat pokok bagi tawakkal ialah amal dan usaha mengikut Sunnah Allah.
Seorang yang mahu makan tetapi tidak mahu mencari makanan, lalu ia menyerah diri kepada Allah, kemungkinan ia akan mati kelaparan. Seorang yang sakit, tidak mahu berubat lalu menyerahkan diri kepada Allah, kemungkinan sakitnya akan bertambah berat.
Firman Allah Subhanahu Wata`ala di dalam Surah At-Taubah ayat 105 (maksudnya) :
`` Dan katakanlah: Berusahalah kamu! (bekerjalah kamu!). Maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang mu`min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu di beritakan-Nya kepada mu apa yang telah kamu lakukan (kerjakan).``
Firman-Nya lagi di dalam surah Ali `Emran ayat 195 (maksudnya) :
``Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman) - Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebagian kamu adalah (keturunan) dari sebagian yang lain. Maka orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, sebagai pahala dari Allah. Dan di sisi Allah ada pahala yang baik.``
Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam :
``Bekerjalah! Setiap orang akan dipermudahkan kepada apa saja yang ia telah diciptakan untuk itu.`` (Muttafaq `alaih)
Firman Allah didalam surah Al-An`am Ayat 135 (maksudnya) :
`` Katakanlah (Muhammad), - Wahai kaumku! Berbuatlah menurut kedudukanmu, aku pun berbuat (demikian). Kelak kamu akan mengetahui, siapa yang akan memperoleh tempat (terbaik) di akhirat (nanti). Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung. ``
Saorang Badawi bertanya kepada Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam :
`` Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakkal kepada Allah, Ya Rasulullah?
Nabi bersabda - Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakkallah kepada Allah.``
Jadi kalau unta itu dibiarkan di padang pasir tanpa diikat, lalu ia berserah kepada Allah, mungkin untanya akan hilang dan ini tidak dinamakan bertawakkal.
Dalam Al-Quran surah Ali-`Emran Ayat 159, Allah berfirman (maksudnya) :
`` Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu. Kerana itu ma`afkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal.``
Dalam melakukan tawakkal kepada Allah Subhanahu Wata`ala hendaklah menjauhi hal-hal saperti berikut :
- Menjauhkan diri daripada syirik, baik dalam kepercayaan maupun dalam menyampaikan permohonan, Firman Allah Ta`ala didalam :
- Surah Al-Maidah Ayat 23 (maksudnya) : `` Berkatalah dua orang laki-laki di antara mereka yang bertakwa, yang telah diberi nikmat oleh Allah, - Serbulah mereka melalui pintu gerbang (negeri) itu. jika kamu memasukinya niscaya kamu akan menang. Dan bertawakkallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang beriman.``
- Surah Al-Ankabut Ayat 17 (maksudnya) : `` Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah hanyalah berhala-berhala, dan kamu membuat kebohongan. Sesungguhnya apa yang kamu sembah selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada mu; maka mintalah rezeki dari Allah, dan sembahlah Dia dan bersyukurlah kepada-Nya. Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.``
Orang yang memohon kemuliaan kepada makhluk kerana memandang bahawa ia mempunyai kekuasaan-kekuasan ghaib, niscaya ia akan dihinakan Allah Subhanahu Wata`ala.
- Jangan bangga kerana merasa banyak usaha dan banyak persediaan bahan-bahan yang diperlukan.
- Ketika perang Hunain tahun 9 Hijrah orang Islam telah merasa besar hati, kerana banyaknya pasukan mereka, mereka berkata : `` Kita tidak akan kalah sekarang. Pasukan kita banyak, pasukan musuh sedikit.`` Mereka kurang tawakkal kepada Allah Subhanahu Wata`ala, ketika itu pasukan Islam sebanyak 12,000 orang dan dari pihak musuh sebanyak 4,000 orang. Kebanggaan mereka itu, memang menyesakkan hati Nabi Sallallahu`alaihi Wasallam. Kerana itu, mereka mengalami kekalahan, sekalipun akhirnya (satelah mereka mengubah perasaannya) dengan pertolongan Allah, mereka mendapatkan kemenangan. Perkara ini diterangkan di dalam Al-Quran surah At-Taubah Ayat 25 - 26 (maksudnya) :
- `` Sungguh, Allah telah menolong kamu (mukminin) di banyak medan perang, dan (ingatlah) Perang Hunain, ketika jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu, tetapi (jumlah yang banyak itu) sama sekali tidak berguna bagimu, dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang-langgang ``.(Ayat 25).
- `` Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Dia menurunkan bala tentera (para malaikat) yang tidak terlihat oleh mu, dan Dia menimpakan azab kepada orang-orang kafir. Itulah balasan bagi orang-orang kafir``. (Ayat 26).
والله أعلم
~*~