DO'A BANGUN DARI TIDUR *(1)
Sebaik sahaja terjaga di pagi hari satelah tidur semalaman suntuk, sedarlah kita bahawa Allah Yang Maha Penyayang masih mengizinkan nyawa dikandung badan kerana selain masa rehat yang panjang, tidur juga seakan mati untuk sementara waktu.
Oleh itu puji syukur mestilah diucapkan dan disampaikan kepada-Nya yang telah mengembalikan roh kepada jasadnya dan telah memberikan kita kesempatan untuk menikmati hidup saterusnya.
Di antara do'a yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam dan dituntut kita membacanya satelah bangun dari tidur di pagi hari ialah :
( الحمد لله الذى احيانا بعدما اماتنا واليه النشور )
Alhamdulillaa hil lazii ahyaa naa ba' damaa amaa tanaa wa ilaihin nusyuur
maksudnya:
" Segala puji kepunyaan Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nyalah tempat kembali "
Menurut riwayat Al-Bukhari, zikir ini dibaca oleh Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam apabila Baginda bangun dari tidur di pagi hari.
Selain itu, Ibnus Sunni meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
" Sesiapa yang bangun dari tidurnya di pagi hari, hendaklah membaca zikir ini ".:
( الحمد لله الذى رد علي روحى , وعافانى فى جسدى , وأذن لى بذكره )
Alham du lillaa hil lazii radda 'alaiya roo hii, wa 'aa faa nii fii jasadii, wa azina lii bizikrih
Maksudnya:
" Segala puji kepunyaan Allah yang telah mengembalikan rohku kepadaku, dan menyihatkan tubuh badanku dan telah memberikan izin kepadaku untuk menyebut-Nya (mengingat-Nya) ".
Ruj: ...[ Amalan-Amalan Sunat 16]