MENGHORMATI MUSHAF QURAN
Firman Allah Ta`ala dalam hadis Qudsi :
Maksudnya :
`` Wahai para pembawa Al-Quran, sahutlah seruan Tuhan kamu dengan cara memuliakan dan menghormati Kitab-Nya, Dia akan menambah kepada kamu rasa cinta dan Dia akan menjadikan hamba-hamba-Nya mencintai kamu, Dia akan mengangkat musibah dunia daripada pendengar bacaan Al-Quran, Dia akan menjauhkan kejahatan akhirat daripada para pembaca Al-Quran, sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitabullah, ia adalah lebih utama baginya daripada timbunan emas. Sesiapa yang membaca satu ayat daripada Kitabullah, ia adalah lebih utama daripada segala apa yang ada di bawah `Arasy hingga ke sempadannya. Sesungguhnya di dalam Kitabullah ada satu surah yang dipanggil `` Al-Azizah`` dan pembacanya dipanggil pada Hari Kiamat dengan ``Asy-Syarif```, surah itu memberi syafaat kepada pembacanya lebih banyak daripada puak Rubai`ah dan Mudhar, dan itulah surah Yasin. ``
(Hadis Riwayat Al-Hakim dan At-Tirmidzi).
Al-Quran itu adalah Kalamullah, ia mengatasi segala kalam, dan Mushaf yang dituliskan padanya Kalamullah wajib dihormati dan di-muliakan dan tidak mendedahkannya kepada penghinaan dan pencemaran,
Imam An-Nawawi berkata :
`` Orang-orang Islam telah ijma` tentang wajib menjaga Mushaf dan menghormatinya. Ashab kami dan lain-lain ulama telah berkata: `` jika seorang Muslim mencampakkannya ketempat yang kotor - (mudah-mudahan Allah Ta`ala menjauhinya) - nescaya dia menjadi kafir.``
Di dalam kitabnya Nawadir Al-Ushul, Imam Abu Abdillah Muhammad Al-Hakim At-Tarmidzi menyebutkan beberapa adab dan cara memuliakan dan menghormati Al-Quran, sebahagian daripadanya:
- Ketika menyentuh, memegang atau membawa Mushaf hendaklah dalam keadaan suci (berwudhu). Firman Allah Ta`ala didalam Surah Al-Waqi`ah Ayat 79 (maksudnya): `` Tidak menyentuhnya melainkan orang-orang yang suci.``
- Tidak meletakkan Mushaf ditempat-tempat yang terdedah kepada pencemaran (najis, kotoran atau jika ditiup angin ia akan berselerak, bertaburan).
- Tidak menyimpan sesuatu benda diatas Mushaf dan mesti diletakkan ditempat yang lebih terhormat.
- Ketika membaca Mushaf ia di letakkan diatas sesuatu dihadapan (tidak menyimpannya secara langsung di atas lantai).
- Jika dituliskan ia pada sesuatu, jangan dihapus dengan air liur, tetapi dengan air bersih. Kemudian larutan basuhannya tidak jatuh ke tempat yang bernajis atau tempat yang selalu dipijak-pijak, kerana ia perlu dihormati.
- Memandang Mushaf setiap hari. Abu Musa Al-Asy`ari berkata: `` Aku merasa malu jika tidak memandang Kitab Tuhanku sekali dalam setiap hari...`` Rasulullah Shallallahu`alaihi wasallam bersabda: (maksudnya) `` Kamu berikanlah bahagian ibadat untuk mata kamu, lalu sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apa dia bahagian ibadat mata?...Baginda menjawab: (Bahagian ibadat mata) ialah memandang Mushaf, memikirkan kandungannya dan mengambil i`tibar daripada keajaiban-keajaibannnya.``
- Mencantikkan tulisannya.
- Jangan jadikan Mushaf sebagai bantal dan tempat bersandar dan jangan melemparkannya.
- Jangan mengecilkan ukuran Mushaf.
- Jangan mencampur adukkannya dengan benda lain yang bukan Mushaf.
- Jangan dihiasi dengan emas dan jangan ditulis dengan emas supaya ia tidak bercampur dengan perhiasan dunia.
- Tidak menuliskannya di tanah dan pada dinding.
- Apabila tulisannya dijadikan bahan mandian kerana berubat daripada penyakit yang sedang dideritainya, ianya janganlah jatuh ke lantai kotor atau tempat bernajis atau tempat yang dipijak-pijak.
- Jangan menuliskan ayat pelindung yang dibawa masuk kedalam tandas, kecuali ianya dimasukkan dalam kulit atau perak atau di dalam selain keduanya.
- Apabila ianya ditulis kemudian airnya diminum, hendaklah membaca basmalah setiap kali meneguknya dan hendaklah meluruskan niat, kerana Allah hanya akan memberi mengikut kadar niatnya.
- Boleh menuliskan Yasin pada bejana dengan kuma-kuma kemudian meminumnya bagi sesiapa yang mendapati kesedihan dalam hatinya.
والله أعلم
No comments:
Post a Comment