Sunday, October 31, 2010

Mimpi Buruk

DO`A APABILA MEMPEROLEH MIMPI BURUK


Apabila kita bermimpi baik, hendaklah memuji Allah dan menceritakan kepada orang yang kita kasihi. Tetapi apabila mimpi kita itu buruk (tidak baik), hendaklah :

  • kita meludah kekiri 3 kali
  • memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaithan (Ta`auwudz) :

اللهم إني أعوذبك من عمل الشيطان ،   و سيئات الأحلام

( Allaahumma innii a `uu zubika min `amalisy syaithaan , wa saiyi aatil ahlaam.)

``  Wahai Tuhanku, bahawasanya aku berlindung dengan Engkau dari pekerjaan syaithan dan dari mimpi-mimpi yang buruk. ``

  • lalu berpaling membalikkan hadapan kita.


Menurut riwayat Ibnus Sunny, Nabi (صلى الله عليه وسلام ) bersabda (maksudnya) :

`` Apabila bermipi seorang kamu dengan mimpi yang tidak  menyenangkan, hendaklah ia meludah tiga kali kemudian hendaklah ia ucapkan ta`auwudz yang diatas ini.Dan jangan diceritakan mimpi itu kepada siapa saja.``



~ * والله أعلم * ~

Friday, October 29, 2010

Tawakkal

TAWAKKAL


Tawakkal dari segi bahasa artinya `` menyerah ``. Menurut arti ayat-ayat Al-Quran dan contoh-contoh dari Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam ialah : `` mengusahakan sesuatu dengan mempergunakan sebab-sebab yang lazim (Sunnah Allah) serta mengharapkan pertolongan Allah Subhanahu Wata`ala.

Seorang yang sedang sakit menghendaki kesembuhan,  ia akan :
·         berusaha pergi ke doktor untok meminta nasihat,
·         mengambil ubat sebagaimana nasehat doktor,
·         tawakkal – menyerahkan segala usahanya kepada Allah Subhanahu Wata`ala,
·         mengharapkan pertolongan Allah dengan tenang,
·         redha  - menunggu pertolongan Allah Subhanahu Wata`ala dengan rela dan senang menerima apa saja yang akan terjadi.

Seorang yang mahu kaya,ia berusaha untok menghasilkan kekayaan itu, menurut tatacara yang biasa (Sunnah Allah), yang halal, dengan mengharapkan pertolongan Allah.

Orang yang menginginkan sesuatu, akan tetapi tidak mau berusaha atau ia berusaha tetapi dengan cara yang salah.   Seorang yang sakit mahu sembuh, lalu dia pergi ke dukun-dukun; mau kaya tetapi ia pergi memuja-muja kuburan-kuburan.  Semua usaha ini tidak mengikut Sunnah Allah dan ini bukan tawakkal.  Syarat pokok bagi tawakkal ialah amal dan usaha mengikut Sunnah Allah.

Seorang yang mahu makan tetapi tidak mahu mencari makanan, lalu ia menyerah diri kepada Allah, kemungkinan ia akan mati kelaparan.  Seorang yang sakit, tidak mahu berubat lalu menyerahkan diri kepada Allah, kemungkinan sakitnya akan bertambah berat.

Firman Allah Subhanahu Wata`ala di dalam Surah At-Taubah ayat 105 (maksudnya) :

`` Dan katakanlah: Berusahalah kamu! (bekerjalah kamu!).  Maka Allah dan Rasul-Nya serta  orang-orang  mu`min akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang  Mengetahui  akan  yang ghaib dan  yang nyata, lalu di beritakan-Nya  kepada mu apa yang telah kamu lakukan (kerjakan).``

Firman-Nya lagi di dalam surah Ali `Emran ayat 195 (maksudnya) :
 ``Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman) - Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebagian kamu adalah (keturunan) dari sebagian yang lain.  Maka orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, sebagai pahala dari Allah.  Dan di sisi Allah ada pahala yang baik.``

Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam :
``Bekerjalah!  Setiap orang akan dipermudahkan kepada apa saja yang ia telah diciptakan untuk itu.``  (Muttafaq `alaih)

Firman Allah didalam surah Al-An`am Ayat 135 (maksudnya) :
`` Katakanlah (Muhammad), - Wahai kaumku! Berbuatlah menurut kedudukanmu, aku pun berbuat (demikian).  Kelak kamu akan mengetahui, siapa yang akan memperoleh tempat (terbaik) di akhirat (nanti).  Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung. ``

Saorang Badawi bertanya kepada Nabi Sallallahu `Alaihi Wasallam :
`` Bolehkah saya melepaskan unta saya, lalu saya bertawakkal kepada Allah, Ya Rasulullah?
Nabi bersabda - Tambatlah unta itu, lalu engkau bertawakkallah kepada Allah.``

Jadi kalau unta itu dibiarkan di padang pasir tanpa diikat, lalu ia berserah kepada Allah, mungkin untanya akan hilang dan ini tidak dinamakan bertawakkal.

Dalam Al-Quran surah Ali-`Emran Ayat 159,  Allah berfirman (maksudnya) :
`` Maka berkat rahmat Allah engkau (Muhammad) berlaku lemah-lembut terhadap mereka.  Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu.  Kerana itu ma`afkanlah mereka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.  Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah.  Sungguh Allah mencintai orang yang bertawakkal.``
   
Dalam melakukan tawakkal kepada Allah Subhanahu Wata`ala hendaklah menjauhi hal-hal saperti berikut :
  • Menjauhkan diri daripada syirik, baik dalam kepercayaan maupun dalam menyampaikan permohonan, Firman Allah Ta`ala didalam :
    • Surah Al-Maidah Ayat 23 (maksudnya) : `` Berkatalah dua orang laki-laki di antara mereka yang bertakwa, yang telah diberi nikmat oleh Allah, -  Serbulah mereka melalui pintu gerbang (negeri) itu. jika kamu memasukinya niscaya kamu akan menang.  Dan bertawakkallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang beriman.`` 
    • Surah Al-Ankabut Ayat 17 (maksudnya) : `` Sesungguhnya yang kamu sembah selain Allah hanyalah berhala-berhala, dan kamu membuat kebohongan.  Sesungguhnya apa yang kamu sembah  selain Allah itu tidak mampu memberikan rezeki kepada mu; maka mintalah rezeki dari Allah, dan sembahlah  Dia dan bersyukurlah kepada-Nya.  Hanya kepada-Nya kamu akan dikembalikan.``
Orang yang memohon kemuliaan kepada makhluk kerana memandang bahawa ia mempunyai kekuasaan-kekuasan ghaib, niscaya ia akan dihinakan Allah Subhanahu Wata`ala.

  • Jangan bangga  kerana merasa banyak usaha dan banyak persediaan bahan-bahan yang diperlukan.
    • Ketika perang Hunain tahun 9 Hijrah orang Islam telah merasa besar hati, kerana banyaknya pasukan mereka, mereka berkata : `` Kita tidak akan kalah sekarang.  Pasukan kita banyak, pasukan musuh  sedikit.`` Mereka kurang tawakkal kepada Allah Subhanahu Wata`ala, ketika itu pasukan Islam sebanyak 12,000 orang dan  dari pihak musuh sebanyak 4,000 orang.  Kebanggaan mereka itu, memang menyesakkan hati Nabi Sallallahu`alaihi Wasallam. Kerana itu, mereka mengalami kekalahan, sekalipun akhirnya (satelah mereka mengubah perasaannya) dengan pertolongan Allah, mereka mendapatkan kemenangan. Perkara ini diterangkan di dalam Al-Quran surah At-Taubah Ayat 25 - 26 (maksudnya) :
      • `` Sungguh, Allah telah menolong kamu (mukminin) di banyak medan perang, dan (ingatlah) Perang Hunain, ketika jumlahmu yang besar itu membanggakan kamu, tetapi (jumlah yang banyak itu) sama sekali tidak berguna bagimu, dan bumi yang luas itu terasa sempit bagimu, kemudian kamu berbalik ke belakang dan lari tunggang-langgang ``.(Ayat 25).
      • `` Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Dia menurunkan bala tentera (para malaikat) yang tidak terlihat oleh mu, dan Dia menimpakan azab kepada orang-orang kafir.  Itulah balasan bagi orang-orang kafir``. (Ayat 26).


والله أعلم
~*~



Ibadah Menurut Al-Quran & Al-Hadits

MAKNA IBADAH 
MENURUT AL-QURAN & AL-HADITS

Saperti yang di jelaskan didalam Tafsir  Quran Al-Karim (oleh Prof Dr.H.Mahmud Yunus) Makna ``Ibadat atau Ibadah`` - Na`budu ialah :
  • Melahirkan kehinaan dan kerendahan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa dengan melakukan amalan-amalan yang tertentu.
Kenapa kita beribadat kepada-Nya ?

  • Kerana Allah amat banyak memberi kita bermacam-macam ni`mat, maka apa tak patutkah kita  wajib  menyembah-Nya dan beribadat kepada-Nya.
Dan ibadah kita itu hendaklah hanya semata-mata kerana Allah belaka dan mengharapkan keredhaan-Nya serta tiada mempersekutukan-Nya dengan yang lain.  Bukan pula kerana riya, hendak dipuji orang atau kerana malu.


Di dalam Surah Yunus Ayat 106-107 Allah memerintahkan kita untok beribadat hanya kepada-Nya dan diterangkan juga kenapa tidak boleh beribadat kepada selain-Nya.
  • (*Makna Ayat 106*) :
 ``Janganlah engkau sembah (selain daripada Allah) sesuatu yang tiada bermanfa`at dan tiada pula melarat kepada engkau.  Jika engkau perbuat (demikian itu), nescaya engkau termasuk orang-orang yang aniaya.``

  • (*Makna Ayat 107*) :
`` Jika Allah menimpakan kemelaratan kepada mu, maka tiada yang menghilangkannya, melainkan Dia (Allah).  Dan jika Dia hendak mendatangkan kebajikan kepadamu, maka tiada pula yang dapat menolak karunia-Nya itu.  Dia memberikan kebajikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya, diantara hamba-hamba-Nya, dan Dia pengampun lagi Penyayang.``



Keterangan ayat-ayat diatas : 
  • Janganlah kamu meminta (mendo`a, menyembah) - selain daripada Allah - kepada sesuatu yang tidak bermanfa`at (berguna) dan tiada melarat kepadamu, saperti berhala,patung-patung, kubur-kubur, pohon-pohon besar dan sebagainya. Bahkan hendaklah kamu mendo`a kepada Allah semata-mata, kerana jika Allah mendatangkan kemelaratan kepadamu, maka tiadalah yang akan menghilangkannya, selain daripada-Nya  dan jika Ia menganugerahkan kepadamu kebaikan, maka tak ada orang yang dapat menolak pemberian-Nya itu.  Dianugerahkan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya diantara hamba-hamba-Nya, iaitu orang-orang yang patuh mengikut sunnatullah.
  • Dalam ayat ini nyatalah, bahawa kita wajib meminta (berdo`a) tenang sesuatu hajat dan maksud kita kepada Allah semata-mata dan tidak boleh kita minta selain-Nya. Saperti minta selamat dunia dan akhirat, minta murah rezqi, minta badan sihat, minta panjang umur dan seumpamanya.
  • Orang yang berbuat yang demikian itu dan meminta kepada selain Allah adalah mereka itu mempersekutukan Allah dengan yang lain.



Didalam  keterangan  Surah Al-Qadr ( Tafsir Quran oleh Prof. Dr. Hj Mahmud Yunus) ada menta`rifkan makna ibadat iaitu dengan mengerjakan sembahyang-sembahyang sunnat saperti terawih, witir, tasbih, tahajjud, membaca Quran, berselawat kepada Nabi Muhammad Sallallahu`alaihi Wasallam, berzikir dan lain-lain lagi.  Bukan dengan makan minum yang berlebih-lebihan atau mengisi perut dengan bermacm-macam makanan.

Perbezaan antara ibadat dan adat adalah :
Memenuhi keperluan hidup dengan menggunakan kekayaan yang di miliki itu adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.  Apabila keperluan itu dilakukan, manusia akan merasa bahawa urusan yang terletak diatas bahu itu telah terlaksana.  :
  • IBADAT :
    • Bagi orang beriman ia merasai bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan itu adalah satu ibadah, satu amalan yang diberikan ganjaran oleh Allah Subhanahu Wata`ala.
  • ADAT ;
    • Namun bagi orang yang tidak memahami hakikat keperluan tersebut, urusan yang dilakukan semata-mata kerana melaksanakan tanggungjawab, melaksanakan sesuatu yang dilakukan.


والله أعلم بالصواب 

Friday, October 22, 2010

Memandang Wajah Kedua Ibu bapa

MEMANDANG WAJAH KEDUA IBU BAPA

Di antara pandangan yang mendatangkan pahala ialah memandang kepada kedua ibu bapa dengan pandangan penuh kasih sayang dan penghormatan.  Apabila memandang mereka dengan pandangan yang tajam dan menyakitkan, kemudian mengalihkan pandangan dengan memalingkan muka atau menghadapkan muka ke arah lain semasa berbicara adalah kelakuan yang merendahkan martabat seseorang dan mencerminkan sifat sombong dan meninggi diri.

Saperti yang telah di riwayatkan oleh Al-Hakim dan Al-Ashbahani daripada Abu Bakrah Radhiyallahu `anhu, Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam bersabda : (maksudnya)

`` Semua dosa-dosa lain, Allah melambatkan balasannya menurut kehendak-Nya sehingga Hari Qiamat, melainkan dosa menderhaka terhadap kedua ibu bapa, maka sesungguhnya Allah akan mempercepatkan balasan-Nya kepada si penderhaka di kehidupan sebelum mati.``

Telah banyak bukti yang dapat kita saksikan dan dengar kesan daripada penderhakaan anak-anak terhadap kedua ibu bapanya.  Anak-anak hilang arah dan tujuan serta jauh daripada keredhaan Allah Subhanahu Wata`ala.  Allah Subhanahu Wata`ala menurunkan musibah di dunia bagi mereka dan menyediakan balasan neraka di akhirat.

Cuba kita renungkan baik-baik, ibu bapa kitalah yang menyebabkan kita lahir kedunia dan dapat menyaksikan keindahan alam.  Di besarkan dan di didiknya kita sehingga menjadi orang baik, berakal, cerdik dan lain-lain lagi.   Ibu bapa sanggup berkorban masa dan apa saja demi untuk memberikan makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihaan dan yang pentingnya kasih sayang serta berbagai lagi yang mana tak mungkin dapat di senaraikan.  Wahai anak-anak syukurilah nikmat ini dengan berbakti kepada keduanya dan memandang mereka dengan pandangan rahmat. Akhirnya semoga Allah akan merahmati keduanya sebagaimana mereka telah memelihara kita sejak dari kecil.



 والله أعلم

Monday, October 18, 2010

Hidayah Darussalam: Kelebihan Orang Yang Membaca Al-Quran

Hidayah Darussalam: Kelebihan Orang Yang Membaca Al-Quran: "DI ANTARA KELEBIHAN ORANG YANG MEMBACA AL-QURAN Banyak kelebihan bagi mereka yang selalu mengamalkan membaca Al-Quran serta berdamping denga..."

Kelebihan Orang Yang Membaca Al-Quran

DI ANTARA KELEBIHAN ORANG YANG MEMBACA AL-QURAN

Banyak kelebihan bagi mereka yang selalu mengamalkan membaca Al-Quran serta berdamping dengannya.  Kita di tuntut mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain khususnya mereka yang berada dibawah tanggungan kita  kerana membaca Al-Quran adalah semulia-mulia ibadat.  Ini dapat kita perhatikan dalam hadis baginda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam. riwayat Bukhari :

`` Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. ``

Membaca Al-Quran adalah amalan dan ibadat yang sangat mulia dan mendapat pahala yang berlipat ganda kepada siapa yang membacanya.  Ia memberi petunjuk kejalan yang lurus dan mengeluarkan manusia dari segala kegelapan.  Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Al-Baihaqi) :

`` Semulia-mulia ibadat umatku (ibadat yang bukan wajib) ialah membaca Al-Quran ``

Ini dibuktikan lagi kepada mereka yang fasih membaca Al-Quran itu dikira sangat mulia dan paling layak mengimamkan sesuatu jema`ah berdasarkan sabda Baginda (yang diriwayatkan oleh Muslim) :

`` Orang yang paling layak mengimami sesuatu kaum didalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran. ``

Cuba kita perhatikan sebuah hadith daripada Ibnu Mas`ud betapa banyaknya pahala yang akan diperolehi bagi mereka yang selalu membaca Al-Quran. Sabda Rasulullah  Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Ad-Darami At-Turmizi) :

`` Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran  maka baginya satu kebaikkan, satu kebaikkan menyamai dengan sepuluh pahala, Aku (Rasulullah) tidak bermaksud Alif Lam Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.``

Amatlah rugi bagi orang-orang yang tidak tahu dan tidak mahu membaca Al-Quran, tidak mahu hati dan jiwa mereka diisi dengan ayat-ayat kalimah Allah itu.  Maka orang-orang ini diumpamakan sebagai sebuah  rumah kosong yang sampai tidak berisi apa-apa sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam daripada Ibnu Abbas (Riwayat At-Turmizi) :

`` Sesungguhnya orang yang tiada apa-apa di dalam dadanya sedikit pun daripada  Al-Quran itu adalah umpama rumah buruk yang binasa.``

Allah Subhanahu Wata`ala memberi kurnia pahala  yang tidak sedikit kepada orang yang membaca dan mendengar Al-Quran.  Pahala yang diberikan itu tidak sama di antara satu dengan yang lain saperti tersebut dalam sebuah hadith baginda (Riwayat Ahmad  daripada Abi Hurairah) :

`` Siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah, dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barangsiapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada Hari Qiamat. ``

Para Malaikat sentiasa berselawat dan mendoakan mereka yang selalu membaca Al-Quran secara berterusan.  Ini telah di tegaskan oleh baginda dalam sabdanya (Riwayat Ad-Darami) :

`` Siapa yang membaca Al-Quran pada waktu malam atau siang nescaya berselawat keatasnya para Malaikat sehingga malam. ``

Dalam sabdanya yang lain (Riwayat Ad-Darami):

`` Barangsiapa membaca Al-Quran kemudian  dia berdoa nescaya doanya di aminkan oleh empat ribu (4,000) Malaikat. ``

Ini termasuklah berita yang disampaikan oleh baginda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam daripada Abu Umamah Al-Bahiliy bahawa Al-Quran itu sendiri akan menjadi syafaat kepada siapa yang mengamalkannya (membaca) sebagaimana dalam sabdanya (Riwayat Muslim) :

`` Bacalah Al-Quran itu sesungguhnya ia akan datang di Hari Qiamat sebagi syafaat kepada pembacanya.``

Daripada Saiyidina `Aliy bin Abi Thalib sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Ahmad dan At-Turmizi) : 

`` Barangsiapa membaca Al-Quran dan menganggap bahawa perkataan-perkataannya itu halal adalah tetap halal dan yang haram tetap haram,nescaya akan dimasukkan dia kedalam Syurga oleh Allah Subhanu Wata`ala dan menerima syafaatnya kepada sepuluh (10) orang daripada ahli keluarganya yang akan di campakkan  kedalam Neraka.`` 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Turmizi :

`` Dari Abi Hurairah : Pada Hari Qiamat datanglah orang yang membaca Al-Quran, maka Al-Quran itu berkata kepada Allah : Yaa Rab, Hiasilah dia,  maka dipakaikan kepadanya mahkota kemuliaan.  Kemudian Al-Quran berkata lagi :  Yaa Rab, Tambahkan lah kurniaan kepadanya. Maka di pakaikan kepadanya perhiasan kemuliaan.  Kemudian berkata lagi Al-Quran : Yaa Rab, Kurniakan lah keredhaan kepadanya.  Maka Allah mengurniakan keredhaan kepadanya.  Lalu diseru kepada orang itu, bacalah dan naiklah tangga Syurga dan bagi tiap-tiap satu ayat yang dibacanya itu di lebihkan satu kebajikan.``

Dalam sebuah hadith yang lain pula ada menyebutkan bahawa pembaca-pembaca dan ahli-ahli Al-Quran itu adalah keluarga Allah Ta`ala di dunia.  (Riwayat An-Nasae dan Ibnu Majah dan Al-Hakim) :

`` Daripada Anas : Sesungguhnya bagi Allah itu kaum keluarga yang terdiri daripada manusia.  Para sahabat bertanya : Siapakah mereka itu wahai Rasulullah ?. Baginda menjawab : Ahli-ahli Al-Quran itu adalah keluarga Allah dan orang-orang pilihan yang hampir kepada-Nya,``



(((~*~)))



Saturday, October 16, 2010

Adab Dengan Allah Dan Sesama Makhluk-Nya

ADAB DENGAN ALLAH DAN SESAMA MAKHLUKNYA


Sahabat yang tidak bercerai dari anda sama ada masa dalam negeri atau  musafir, masa jaga atau tidur dan masa hidup atau mati itu  ialah Allah, Tuhan yang menjadikan anda. Selagi anda ingatkan Dia selagi itulah Dia berada disisi anda. Firman Allah dalam Hadith Qudsi yang ertinya: ``Aku duduk bersama dengan orang yang ingatkan Aku`` .


Jikalau anda mengetahui Allah Ta`ala dengan sabenar tahu (Ma`rifat) nescaya anda akan menjadikan Allah taulan  sepanjang masa dan setiap ketika.  Jika sekiranya anda tidak terdaya berbuat demikian maka pasti anda tidak melepaskan peluang sama ada pada waktu malam atau siang daripada munajat (menghadap) Allah. Untuk menghadap Allah hendaklah cukup tertib, beradab dan sopan santun.  Inilah sebahagian daripada adab bersahabat dengan sahabat  yang tak pernah renggang daripada anda iaitu  Allah Subhanahu Wata`ala iaitu :

  • Menundukkan kepala
  • Kejamkan mata
  • Kumpulkan segala yang mendukakan hati
  • kekalkan diam
  • Tetapkan anggota
  • Bersegera membuat suruhan Allah dan menjauhkan larangan-Nya
  • Jangan keberatan atas apa yang telah ditakdirkan
  • Kekalkan berzikir
  • Sentiasa berfikir
  • Memilih yang hak atas yang bathil
  • Merendah diri dibawah kebesaran Allah 
  • Berasa kesal kerana malu
  • Berserah kepada kelebihan-Nya

Adapun adab sesama makhluk itu banyak sekali satengah daripadanya:
  1. Jikalau anda seorang `alim atau guru maka anda hendaklah :
    • Tahan menanggung segala dugaan
    • Lemah lembut
    • Layan hamba-hamba Allah dengan layanan yang baik kecuali orang zalim kerana mencegah kezalimannya
    • Merendah diri dimajlis-majlis orang
    • Jangan berlawak-lawak
    • Berlembut dengan penuntut-penuntut
    • Memandu orang bodoh dan tunjukkan dengan baik
    • Taat kepada yang hak 
    • Menjadikan diri sebagai contoh tauladan yang baik.
  2. Jikalau  anda seorang penuntut hendaklah anda :
    • Memulakan salam kepada guru-guru
    • Kurangkan bercakap banyak
    • Jangan bercakap selagi guru belum memberi izin bercakap
    • Jangan bertanya selagi guru belum memberi peluang bertanya
    • Semasa anda mendengar percakapan guru jangan sekali membeza-bezakan percakapannya dengan orang lain dihadapannya
    • Menunjuk pandai di hadapan guru
    • Jangan memandang ketempat lain sedang anda duduk didepan guru
    • Jangan merunsingkan guru ketika ia penat.

Jika  anda terpaksa berada ditengah-tengah kumpulan orang ramai (orang awam) hendaklah :
  • Menjauhkan diri dari mencampuri dalam perbualan mereka itu
  • Jangan tunjukkan suka mendengar karut-karutnya
  • Buat tak tahu sahaja apa-apa percakapan yang kasar dan cemar jika ada
  • Jangan tunjukkan anda berhajat kepada mereka itu sebaliknya hendaklah anda menasihatkan mereka dengan lemah lembut sekiranya ada kemungkaran dilakukan, itu pun jika ada harapan mereka hendak menerimanya.



Friday, October 15, 2010

Keruntuhan Akhlak

KERUNTUHAN AKHLAK YANG BERLELUASA

Di akhir-akhir ini kita sering melihat keruntuhan akhlak yang berleluasa.  Berbagai-bagai usaha telah dilakukan untok membawa manusia kembali kepada nilai-nilai kehidupan  yang mulia, namun sehingga kini belum ada yang berjaya secara keseluruhannya. Semakin canggih kehidupan, semakin bertambah kerosakan akhlak yang menimpa umat manusia khususnya golongan remaja.

Kemajuan sains dan teknologi turut menyumbang kepada keruntuhan nilai-nilai murni sekalipun pada sudut yang lain ia meningkatkan taraf kehidupan.  Disana sini berbagai akibat buruk dan penyakit yang menakutkan telah berleluasa.

Umat Islam patut kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam untuk mengujudkan kembali suasana yang harmoni dan aman damai. Hanya keimanan dan ketaqwaan yang dapat membimbing diri manusia  menuju kehidupan  yang selesa di dunia dan akhirat.

Marilah kita hayati keperibadian  dan akhlak Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam, jadikanlah ia ikutan dan contoh tauladan yang terbaik dalam menjalani kehidupan harian.

Akhirnya diharapkan  artikel ini dapat memberikan sumbangan  yang berguna kepada umat Islam dalam mengharungi kehidupan yang serba moden ini.




Popular Posts