HIJRAH KEPADA ISLAM
``Saya tertarik pada agama Islam sejak di bangku sekolah lagi namun keinginan bertambah kuat untuk memilih agama suci dunia dan Akhirat ini setelah mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wata`ala.`` Begitulah kata-kata daripada seorang insan yang hijrah kepada Islam dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidupnya.
Firman Allah Ta`ala didalam Surah At-Taubah ayat 20, maksudnya:
``Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjihad.``
Hijrah bukan sahaja terbatas kepada pengertian berpindah dari satu tempat atau ketempat yang lain, tetapi juga boleh meliputi kepada makna berpindah dari sifat atau perbuatan yang tidak baik kepada baik, contohnya mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala perbuatan yang ditegah dan diharamkan untuk menuju ke arah kehidupan yang lebih baik dan sempurna serta mendapat keredhaan Allah. Hijrah saperti inilah yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam. (Di petik dari kandungan khutbah Juma`at).
Mesej Hijrah tetap akan berlaku dan berterusan sehingga bila-bila masa. Sabda Rasulullah Sallallahu `alaihi Wasallam (maksudnya):
``Dari Muawiyyah Radiallahu`anhu ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu`alaihi Wasallam bersabda: Hijrah itu tidak akan terhenti sehinggalah tertutupnya peluang taubat dan peluang taubat itu tidak akan tertutup sehinggalah matahari terbit dari tempat terbenamnya.``
(Al-Imam Abu Daud).
Hijrah mempunyai pertalian yang rapat dengan Iman dan jihad. Hijrah akan terlepas tanpa disandarkan kepada keduanya. Firman Allah didalam Surah Al-Baqarah ayat 218 (maksudnya):
``Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah untuk menegakkan agama Islam, mereka inilah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi.``
Disini jelas dalam setiap perjuangan terdapat tiga unsur yang saling memerlukan antara satu sama lain iaitu iman, hijrah dan jihad. Hijrah hati adalah hijrah yang hanya memerlukan kemahuan, keazaman, kesanggupan dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Walaupun hijrah ini tidak memerlukan pengorbanan fizikal dan harta benda, tetapi ia sukar untuk disempurnakan. Beruntunglah orang-orang yang dapat melaksanakannya kerana hati adalah menjadi tempat jatuhnya pandangan dan nilaian Allah terhadap hambanya. Pada hati juga letaknya niat yang akan dinilai pahalanya oleh Allah.
Banyak kita boleh lakukan dalam memperbaiki diri (disamping yang wajib) :
- Perbaiki dan hargailah persahabatan.
- Perbaiki prestasi kejayaan lalu.
- Kenal pasti kelemahan diri dan berusaha memperbaikinya.
- Banyak mendengar dan belajar ilmu yang bermanfaat.
- Berziarah dan perbaiki silaturrahim.
- Perbaiki cara berfikir yang produkifi berlandaskan iman.
- Pelajari akhlak Rasulullah dan jadikan ikutan.
- Jangan sekali-kali terfikir untuk berbuat kejahatan apa lagi untuk melaksanakannya.
- Bertafakur untuk meningkatkan kesedaran.
- Jaga kesihatan supaya tidak terjejas kewajiban.
No comments:
Post a Comment