Monday, October 18, 2010

Kelebihan Orang Yang Membaca Al-Quran

DI ANTARA KELEBIHAN ORANG YANG MEMBACA AL-QURAN

Banyak kelebihan bagi mereka yang selalu mengamalkan membaca Al-Quran serta berdamping dengannya.  Kita di tuntut mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain khususnya mereka yang berada dibawah tanggungan kita  kerana membaca Al-Quran adalah semulia-mulia ibadat.  Ini dapat kita perhatikan dalam hadis baginda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam. riwayat Bukhari :

`` Sebaik-baik manusia di antara kamu ialah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. ``

Membaca Al-Quran adalah amalan dan ibadat yang sangat mulia dan mendapat pahala yang berlipat ganda kepada siapa yang membacanya.  Ia memberi petunjuk kejalan yang lurus dan mengeluarkan manusia dari segala kegelapan.  Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Al-Baihaqi) :

`` Semulia-mulia ibadat umatku (ibadat yang bukan wajib) ialah membaca Al-Quran ``

Ini dibuktikan lagi kepada mereka yang fasih membaca Al-Quran itu dikira sangat mulia dan paling layak mengimamkan sesuatu jema`ah berdasarkan sabda Baginda (yang diriwayatkan oleh Muslim) :

`` Orang yang paling layak mengimami sesuatu kaum didalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran. ``

Cuba kita perhatikan sebuah hadith daripada Ibnu Mas`ud betapa banyaknya pahala yang akan diperolehi bagi mereka yang selalu membaca Al-Quran. Sabda Rasulullah  Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Ad-Darami At-Turmizi) :

`` Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran  maka baginya satu kebaikkan, satu kebaikkan menyamai dengan sepuluh pahala, Aku (Rasulullah) tidak bermaksud Alif Lam Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.``

Amatlah rugi bagi orang-orang yang tidak tahu dan tidak mahu membaca Al-Quran, tidak mahu hati dan jiwa mereka diisi dengan ayat-ayat kalimah Allah itu.  Maka orang-orang ini diumpamakan sebagai sebuah  rumah kosong yang sampai tidak berisi apa-apa sebagaimana Sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam daripada Ibnu Abbas (Riwayat At-Turmizi) :

`` Sesungguhnya orang yang tiada apa-apa di dalam dadanya sedikit pun daripada  Al-Quran itu adalah umpama rumah buruk yang binasa.``

Allah Subhanahu Wata`ala memberi kurnia pahala  yang tidak sedikit kepada orang yang membaca dan mendengar Al-Quran.  Pahala yang diberikan itu tidak sama di antara satu dengan yang lain saperti tersebut dalam sebuah hadith baginda (Riwayat Ahmad  daripada Abi Hurairah) :

`` Siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah, dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barangsiapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada Hari Qiamat. ``

Para Malaikat sentiasa berselawat dan mendoakan mereka yang selalu membaca Al-Quran secara berterusan.  Ini telah di tegaskan oleh baginda dalam sabdanya (Riwayat Ad-Darami) :

`` Siapa yang membaca Al-Quran pada waktu malam atau siang nescaya berselawat keatasnya para Malaikat sehingga malam. ``

Dalam sabdanya yang lain (Riwayat Ad-Darami):

`` Barangsiapa membaca Al-Quran kemudian  dia berdoa nescaya doanya di aminkan oleh empat ribu (4,000) Malaikat. ``

Ini termasuklah berita yang disampaikan oleh baginda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam daripada Abu Umamah Al-Bahiliy bahawa Al-Quran itu sendiri akan menjadi syafaat kepada siapa yang mengamalkannya (membaca) sebagaimana dalam sabdanya (Riwayat Muslim) :

`` Bacalah Al-Quran itu sesungguhnya ia akan datang di Hari Qiamat sebagi syafaat kepada pembacanya.``

Daripada Saiyidina `Aliy bin Abi Thalib sabda Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wasallam (Riwayat Ahmad dan At-Turmizi) : 

`` Barangsiapa membaca Al-Quran dan menganggap bahawa perkataan-perkataannya itu halal adalah tetap halal dan yang haram tetap haram,nescaya akan dimasukkan dia kedalam Syurga oleh Allah Subhanu Wata`ala dan menerima syafaatnya kepada sepuluh (10) orang daripada ahli keluarganya yang akan di campakkan  kedalam Neraka.`` 

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh At-Turmizi :

`` Dari Abi Hurairah : Pada Hari Qiamat datanglah orang yang membaca Al-Quran, maka Al-Quran itu berkata kepada Allah : Yaa Rab, Hiasilah dia,  maka dipakaikan kepadanya mahkota kemuliaan.  Kemudian Al-Quran berkata lagi :  Yaa Rab, Tambahkan lah kurniaan kepadanya. Maka di pakaikan kepadanya perhiasan kemuliaan.  Kemudian berkata lagi Al-Quran : Yaa Rab, Kurniakan lah keredhaan kepadanya.  Maka Allah mengurniakan keredhaan kepadanya.  Lalu diseru kepada orang itu, bacalah dan naiklah tangga Syurga dan bagi tiap-tiap satu ayat yang dibacanya itu di lebihkan satu kebajikan.``

Dalam sebuah hadith yang lain pula ada menyebutkan bahawa pembaca-pembaca dan ahli-ahli Al-Quran itu adalah keluarga Allah Ta`ala di dunia.  (Riwayat An-Nasae dan Ibnu Majah dan Al-Hakim) :

`` Daripada Anas : Sesungguhnya bagi Allah itu kaum keluarga yang terdiri daripada manusia.  Para sahabat bertanya : Siapakah mereka itu wahai Rasulullah ?. Baginda menjawab : Ahli-ahli Al-Quran itu adalah keluarga Allah dan orang-orang pilihan yang hampir kepada-Nya,``



(((~*~)))



No comments:

Post a Comment

Popular Posts